Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menganjurkan Bengkel Penerbitan Buku Panduan Lengkap Pengurusan Kematian dan Harta Pusaka Orang Islam di Sarawak dari 13 hingga 15 Julai 2026 di Damai Beach Resort, Kuching.
Bengkel ini menghimpunkan wakil daripada pelbagai agensi berkaitan termasuk Pejabat Daerah Kuching, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Jabatan Pendaftaran Negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Amanah Raya Berhad, Tabung Baitulmal Sarawak, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak dan Persatuan Peguam Syarie Sarawak bagi menyelaras kandungan buku panduan yang bakal diterbitkan.
Sepanjang bengkel, para peserta telah mengadakan sesi perbincangan, pembentangan serta semakan kandungan bagi memastikan buku panduan yang dihasilkan adalah tepat, komprehensif, praktikal dan selaras dengan prinsip syariah serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Penerbitan buku panduan ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Tindakan Majlis Islam Sarawak 2021–2030 (Bidang Perundangan Islam) yang bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pengurusan kematian dan pentadbiran harta pusaka Islam, di samping memperkukuh penyelarasan antara agensi yang terlibat.
JKSS berharap buku panduan ini akan menjadi rujukan utama kepada masyarakat Islam di Sarawak serta membantu mengurangkan kekeliruan dalam urusan pengurusan kematian dan tuntutan harta pusaka di Sarawak.
