KUCHING, 19 Julai 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah menyertai Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 Negeri Sarawak yang berlangsung pada 17 hingga 19 Julai 2026 anjuran Jabatan Pembangunan Wanita.
Program yang dirasmikan oleh YB Dato' Sri Hajah Nancy binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 19 Julai 2026 di Hotel Grand Continental, Kuching ini menghimpunkan ibu-ibu tunggal dari seluruh Sarawak bagi meningkatkan pengetahuan mengenai hak-hak perundangan, kebajikan dan pemerkasaan wanita pasca perceraian.
Penyertaan JKSS bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai peranan Mahkamah Syariah serta meningkatkan kefahaman masyarakat berhubung proses perundangan Syariah, khususnya perkara-perkara yang melibatkan hak selepas perceraian.
JKSS diwakili oleh Tuan Mohd Sufi bin Mohd Rani, Puan Ruhaina binti Majid dan Puan Nur Syuhadah Dahlia binti Nen @ Shahinan selaku penceramah bagi Modul Perundangan.
Sepanjang program berlangsung, pihak JKSS telah menyampaikan beberapa slot perkongsian yang memberi fokus kepada aspek praktikal dan prosedur di Mahkamah Syariah serta fungsi Bahagian Sokongan Keluarga dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah.
JKSS berharap agar perkongsian ilmu dan pendedahan yang diberikan melalui program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai fungsi Mahkamah Syariah, seterusnya memperluas akses keadilan untuk wanita selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam aspek keterangkuman sosial.
