JKSS, 3 September | DEAR SELF: Kenali dan Hargai Dirimu merupakan salah satu daripada program bertemakan Because You Matter: Menyantuni Diri, Memperkukuh Kesejahteraan anjuran Unit Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS).
Program tersebut turut melibatkan Puan Dayang Azlin binti Awang Ayub, Pegawai Psikologi dari Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, sebagai pengisian yang memberi penekanan kepada aspek mengenali, menghargai dan menyantuni diri dalam usaha memperkukuh kesejahteraan warga kerja.
Program ini menyediakan ruang santai dan interaktif kepada kakitangan untuk melepaskan tekanan, berehat seketika serta memberi perhatian terhadap kesejahteraan diri melalui pelbagai aktiviti menarik. Antaranya termasuk aktiviti mengenali diri melalui lukisan dan warna, inventori personaliti, aktiviti relaksasi, urutan serta pelbagai aktiviti lain yang membantu merehatkan minda dan tubuh.
Pelaksanaan program sebegini bukan sahaja memberi ruang kepada warga kerja untuk berehat dan mengurus tekanan, malah turut memupuk kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesejahteraan diri dalam membentuk kehidupan dan persekitaran kerja yang lebih positif.
Semoga inisiatif sebegini terus diperkasakan sebagai sebahagian daripada budaya kerja yang menyokong kesejahteraan mental, emosi dan fizikal warga kerja serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih positif dan harmoni.
