Berita

 

PERSIDANGAN KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN SYARIAH NUSANTARA 2026 PERKUKUH HALA TUJU KEHAKIMAN SYARIAH DALAM ERA KECERDASAN BUATAN (AI)

Disiarkan pada 07 Oct 2026
Sumber Berita: Disediakan oleh Unit Komunikasi Korporat JKSS
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Oktober 2026 – Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara (PKPSN) Kali Ke-4 telah berlangsung pada 6 hingga 7 Oktober 2026 di The Rizqun International Hotel, Negara Brunei Darussalam dengan mengangkat tema “Kehakiman Syariah Nusantara Dalam Era Kecerdasan Buatan (AI): Cabaran, Etika dan Hala Tuju Kehakiman Syariah.” 
Persidangan berprestij peringkat Nusantara ini menghimpunkan seramai 200 peserta yang terdiri daripada pengamal perundangan dan kehakiman Syariah dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Republik Indonesia dan Republik Singapura.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) Negara Brunei Darussalam. Penganjuran PKPSN kali ini merupakan edisi pertama yang diadakan di luar Malaysia dan akan diteruskan secara penggiliran antara negara-negara Nusantara.

Delegasi Malaysia diketuai oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan penyertaan seramai 38 orang peserta yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Ketua-Ketua Hakim Syarie Negeri, Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah serta pegawai-pegawai kanan JKSM, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Mahkamah Syariah Negeri.

Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) turut diwakili oleh YAA Datu Haji Awang Suhaili bin Ledi, Ketua Hakim Syarie Sarawak, bersama Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Pegawai Syariah JKSS.

Malaysia turut mendapat penghormatan sebagai pembentang kertas kerja melalui YA Puan Hajah Noor Hadina binti Haji Ahmad Zabidi, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, JKSM. Pembentangan turut disampaikan oleh wakil dari Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Republik Singapura. 

Persidangan pada kali ini telah menghasilkan enam resolusi yang menekankan penggunaan AI sebagai alat sokongan kehakiman, penerapan Maqasid Syariah serta prinsip Al-‘Adl, Mas’uliyyah dan Tabayyun, tadbir urus dan etika penggunaan AI, perlindungan data serta pengukuhan kerjasama strategik antara negara-negara Nusantara.

PKPSN 2026 menjadi wadah penting dalam memperkukuh perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik kehakiman Syariah dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan demi memastikan transformasi kehakiman terus berpaksikan Syariah, keadilan dan akauntabiliti.

jkss

jkss

jkss

jkss